NOVEMBER 2023

Kemenangan PRK Jepak Mesej Jelas Rakyat Mahu GPS Bangunkan Bintulu


BINTULU: Kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak adalah pesanan jelas warga Bintulu mahu Kerajaan GPS terus mengemaskini pembangunan di sini. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara pembangunan itu termasuk Pelabuhan Bintulu yang harus diserah balik Kerajaan Pusat kepada Sarawak.

Beliau menambah,  kemenangan itu mengesahkan warga Bintulu mahukan GPS membangunkan kawasan Bintulu secara tersusun.

"Lebih-lebih lagi Samalaju, Kidurong termasuk kawasan Jepak Jaya yang akan dibangunkan menjadi model bandar perindustrian yang lengkap dengan kemudahan yang boleh membawa banyak pelaburan ke Sarawak," katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi yang agak rendah sebanyak 48.57 peratus dalam PRK itu, Abang Johari berkata selalunya dari sudut PRK, peratusan itu tidak akan sama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana ramai pengundi bekerja di luar kawasan dan pengundi muda masih belajar di universiti.

"Kalau  dia (pengundi) bekerja di Kuala Lumpur, berfikir dua kali untuk balik, kedua, mungkin dia fikir GPS pasti menang jadi tak payah datang, tapi  PRN dan PRU mereka akan datang,"tambahnya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini mungkin kerana nama pengundi yang sudah meninggal dunia masih ada dalam daftar pengundi.

Selain itu katanya, mungkin majikan tidak memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk mengundi. 

“Mungkin juga mereka terlalu yakin bahawa GPS akan menang sehingga bersikap ambil lewa turun mengundi,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti